Ramadan di hujung jendela, sudahkah kita bersedia?

Sebak di masjid saat terdengar imam melaungkan doa “Ya Allah berkatilah kami di bulan Syaban dan temukanlah kami dengan bulan Ramadan” sambil terkenangkan Ramadan tahunlalu, Ramadan yang cukup mencabar, Ramadan yang tertutup pintu-pintu masjid tetapi membuka ruang dan peluang yang baru. 

Doa yang dibacakan imam masjid seusai solat fardhu berjemaah itu secara tidak langsung mengingatkan sayabahawa kita sedang menghitung hari menyambut bulan suci Ramadan. Bagaimana, sudahkah anda bersedia? Dalam rencana saya kali ini, saya akan kongsikan beberapa persiapan menjelang Ramadan.

Sucikan niat kita

Setiap perbuatan kita dinilai mengikut niat kita sebagaimana maksud hadis. Dalam menyiapkan diri bertemu Ramadan, marilah bersihkan hati kita untuk menyambutnya. Tanamkan niat dan tekad agar Ramadan yang akan datang ini adalah Ramadan yang terbaik. 

Ramadan pasti akan tiba tetapi belum pasti lagi untuk kita. Namun, sekiranya kita sudah mula tanamkan niat hari ini untuk memperbanyakkan amalan pada Ramadan akan datang tetapi ajal mendahului Ramadan, ketahuilah, kita tetap diberikan ganjaran atas niat baik kita sebagaimana disebutkan dalam petikan hadith riwayat Bukhari, maksud sabda Nabi Muhammad SAW “barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi…”Subhanallah! Lantaran itu, ayuh, kita mulakan niat bersama agar Ramadan akan datang penuh makna hendaknya.

Mulakan sekarang

Ibarat bersenam atau ‘workout’ di gim, kita perlu panaskan badan, membuat renggangan dan sebagainya. 

Antara kita ada juga terhenti atau kurang motivasinya setelah Ramadan berlalu pergi. Kembali pada analogi bersenam di gim tadi, sebagai pendatang yang sudah lama tidak membuat latihan, pastinya kita perlukan masa untuk menyesuaikan diri kembali. Takkanlah dah hampir setahun tak ke gim dan membuat senaman tiba-tiba terus angkat berat kan?

Mulakanlah dengan langkah-langkah kecil seperti meluangkan masa lebih sedikit sekitar lima atau sepuluh minit mungkin setelah solat fardhu untuk membaca beberapa lembaran Quran ataupun dirikan solat Sunat. Jika kita terasa berat mendirikan Qiyam sendirian, cubalah ke masjid-masjid tempatan yang sudah mula menawarkan Qiyam ketika ini. Mudah-mudahan setibanya bulan suci itu nanti, kita sudah terbiasa.

Kenali Ramadan

Ungkapan “tak kenal maka tak cinta” saya rasa sesuai sangat dengan bulan Ramadan. Bulan keampunan yang padanya pelbagai ganjaran yang ditawarkan pada mereka yang sudi. 

Apabila kita lebih mengenali Ramadan, kita akan dapat lebih menghargainya dan terdorong untuk melakukan pelbagai amalan kerana kita ingin kejarkan lipatan ganjarannya yang tiada tandingan khususnya pada sepuluh malam terakhir.

Kenalilah Ramadan dengan membaca berkenaan kelebihan bulan tersebut. Saya yakin, masjid-masjid kita serta pusat-pusat pendidikan Islam di Singapura juga sudah memulakan kuliah berkenaan Ramadan sama ada secara fizikal ataupundalam talian seperti kelas ADIL contohnya di masjid-masjid kita. Ambillah peluang ini untuk kita belajar kembali.

Gilap amalan sedia ada

Dalam semangat ingin mengejar dan menambah amalan baru pada Ramadan nanti, seyogianya kita renung kembali amalan-amalan harian kita. Marilah kita ambil kesempatan ini untuk kita menggilapnya. Sebagai contoh, perhatikanlah bacaan-bacaan dalam solat kita seperti surah Al-Fatihah khususnya, doa iftitah kita, tahiyat awal dan akhir kita dan sebagainya. 

Adakalanya kerana terlalu terbiasa, kita mungkin terlupa perkataan tertentu, sebutan tertentu ataupun tertib yang tertentu dalam sesebuah amalan. Rujuklah kembali pada buku ataupun guru sekiranya kita kurang pasti.

Susun amalan dan doa

Bulan yang mudahnya dimakbulkan doa, itulah Ramadan yang dinanti-nanti sebagaimana maksud sabda Nabi Muhammad SAW “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

Menjelang bulan penuh berkat itu nanti, kita tentu tidak mahu mempersia setiap saat dalam bulan Ramadan. Lantaran itu, saya cadangkan agar luangkan masa sebentar untuk merancang amalan dan doa-doa kita. Dalam membuat persiapan berdoa pula, adakanlah senarai doa buat keluarga, buat rakan taulan, masyarakat Singapura khususnya serta penduduk dunia. Doa-doa tersebut tidak perlu dalam bahasa Arab kerana Dia Maha Mendengar lagi Maha Memahami. Namun, yang sebaiknya adalah doa-doa yang diajarkan Baginda SAW.

Senaraikanlah juga amalan-amalan yang jarang kita lakukan pada bulan yang lainnya seperti mungkin mengkhatam Quran, derma di masjid, madrasah, rumah-rumah tumpangan dan sebagainya. Bayangkan saudara, sedolar yang kita hulurkan secara ikhlas sehari, berlipat ganda di akhirat nanti.

Yang terpenting saya kira letakkanlah di dalam kalendar kita tarikh sepuluh malam terakhir tersebut agar kita lengkap bersedia untuk memaksimakan amalan dan menggapai segala saat pusingan ‘bonus’ tersebut.

Laksanakan tanggungjawab sosial kita

Saya yakin, ramai di antara kita yang rindu suasana Ramadan di masjid-masjid kita. Marilah kita terus panjatkan doa dan laksanakan tanggungjawab sosial kita dalam menjaga diri dan keluarga agar bilangan kes kekal rendah. Bagi yang sudah diundang untuk mengambil vaksin, segerakanlah. Mudah-mudahan dengan mengambil segala langkah berjaga-jaga ini, dapatlah kita jejakkan kaki ke masjid, berterawih berjemaah, mendirikan qiyam biarpun dalam norma baharu andai diizinkanNya.

Hari ini, kita solat berjarak. Sungguhpun begitu kita harap segala usaha kita menjaga kemaslahatan masyarakat mendekatkan lagi jarak kita Yang Maha Pencipta. Biar solat berjarak, asal tak menjarakkan diri dari Ilahi.

Kita mohon mudah-mudahan kita dipanjangkan umur dan ditemukan dengan bulan suci Ramadan sedang kita taat beribadah dan mengabdi diri padaNya.

Selamat menyiapkan diri untuk menyambut bulan penuh keberkatan, bulan kemuliaan, bulan keampunan, bulan suci Ramadan.

Saya hampir kena bayar cash top up $80k bila beli rumah HDB resale!

Tak pasti nak letak apa tajuk untuk blog kali ni tapi rasanya ini yang sesuai berdasarkan pengalaman saya :’)

Hasrat saya sebenarnya nak kongsi dan rakamkan pengalaman mencari rumah resale HDB untuk jadi bahan kenangan saya di masa depan.

Alhamdulillah, sejak bertunang tahun lalu, saya dan isteri giat mencari rumah idaman. (Fuhh. Idaman. Konon)

Catatan ni berdasarkan pengalaman saya membeli rumah resale.

TETAPKAN KRITERIA RUMAH ANDA

Sewaktu completion bagi rumah kami
  • West ke East ke tengah-tengah?

Dalam mencari rumah, banyak kriteria yang saya tetapkan. Sejujurnya saya tak berapa kisah nak tinggal di west atau di east memandangkan isteri saya orang Bedok. Tapi.. bila kita cari rumah di East, harganya melebihi bajet yang kami ada. (Koyak gang!)

Jadi, westlah pilihan kami. (Alhamdulillah east mahal HAHA!) Dan alhamdulillah juga mudah untuk saya membuat keputusan bersama isteri. Ini penting demi jangka masa panjang bersama. 

Antara faktor yang penting yang perlu difikirkan adalah sekiranya suami dan isteri bekerja, dan sekiranya dikurniakan zuriat, orang tua yang mana yang mungkin dapat membantu menjaga sedikit (bukan sepenuhnya jadi tukang jaga bayi ye). Selain itu, perlu juga dipertimbangkan jika kawasannya dekat dengan MRT atau bas. Ini penting bagi saya sebab biasanya menaiki kenderaan awam.

  • BTO ke resale?

Ini juga sering menjadi tanda tanya. Sekiranya BTO, mampukah anda tunggu sehingga 5 tahun? Tetapi saya juga dengar sekiranya anda memilih BTO, anda boleh sewa flat HDB sementara rumah BTO anda siap. 

Rumah sewa dari HDB adalah lebih murah berbanding anda cari sendiri di Carousell, Facebook dan sebagainya. Saya sarankan anda cuba pastikan dengan pihak HDB tentang hal ini.

Untuk resale pula ada kena pastikan 10% CPF daripada harga rumah yang anda inginkan. 

Sekiranya anda memilih resale, terdapat beberapa perkara yang perlu anda pertimbangkan sebagai contoh yang berikut

  • Bayaran renovation
    Jika rumah resale itu lama, tentu banyak renovation yang perlu dilakukan melainkan anda tak kisah dengan kondisi rumah tersebut.

    Anggaran kos bagi renovation adalah sekitar $30 ribu hingga $40 ribu. Ah, mana nak dapat duit reno? Tapi, ada juga rumah yang “move-in” condition – bayar dan terus masuk. Untunglah tu.

    Saya pula dapat yang separuh-separuh, alhamdulillah saja.
  • Bayaran perabot
    Apa yang saya sebutkan tadi belum termasuk bayaran perabot rumah, mungkin saja boleh melebihi $10,000. Bayangkan almari lekat di dinding saja boleh mencecah $3,000. Mana nak beli barangan elektronik, sofa, meja dan sebagainya. (Duit terbang ya)
  • Cash top up
    Ini paling sakit hati sikit. Iyalah, nampak harga $350,000 fikir boleh guna CPF sepenuhnya, sekali… sebabkan rumah tu rumah lama dan usia pasangan anda pula tidak mencukupi 95 tahun bila dicampur dengan usia rumah tersebut makanya.. anda perlu buat top up.

    Contohnya, rumah yang saya mahu, berharga $400,000. Usianya 61 tahun. Campur dengan usia pasangan saya 61 + 26 = 87. Tak cukup 95 tahun kan? Jadi, saya perlu buat cash top up.

    Cash top perlu boleh dibayar bulanan. Cash top up ini berbeza dengan bayaran CPF yang perlu anda bayar.

    Maknanya, potongan CPF anda mungkin $1300. ON TOP OF THAT, anda perlu membayar cash lagi setiap bulan. Waktu tu rumah yang saya nak, saya perlu bayar lagi $1300 setiap bulan. Parah kan??
  • Agent ke sendiri?
    Ah, ini pun perlu kita pertimbangkan. Bagi saya, sebenarnya boleh je buat sendiri. Tak susah mana. Info yang saya kurang pasti boleh saya kita dapatkan dari HDB atau CPF.

    Tapi… sekiranya, rumah yang anda nak beli tu penjualnya agak “susah” atau “bermasalah”, eloklah kita guna ejen untuk bantu. Bayaran ejen biasanya sekitar 10% tidak termasuk GST.

    Tapi dalam mencari ejen, pastikan ejen kita benar-benar nasihatkan kita dan berpengalaman. Sebab, saya pernah nak beli rumah, ejen X tersebut memang semangat nak jual (mungkin dapat komisyen ekstra) tetapi satu perkara yang dia tidak beritahu saya adalah, sekiranya saya setuju untuk beli, saya perlu cash top up sehingga $80,000!!

    Nasib baiklah Allah gerakkan hati penjual untuk tidak jadi menjual. Kalau tidak, dah botak dibuatnya.

    Ejen yang saya ambil, Ya Aliff Mirzan, pengalaman kes cerai, faraidh memang tiptop!
  • COV
    Cash over valuation. Harga kawasan rumah tersebut sekitar $350k tetapi penjual pula nak $400k. Sekiranya anda tetap membeli, besar kemungkinan anda perlu membayar perbezaan tersebut pada penjual.
  • Aplikasi Property Guru
    Saya gunakan aplikasi property guru untuk mencari rumah di kawasan yang saya inginkan. Mudah. 
  • Grant rumah
    Untuk pembeli pertama kali, grant sebanyak $160,000 boleh dimanfaatkan. Tapi, grant tersebut bukanlah “free-free”. Sekiranya anda gunakan grant tersebut, pada masa hadapan sekiranya nak beli rumah resale, perlu bayar Resale Levi sehingga 40k. Dan sekiranya saya nak beli BTO, saya masih boleh dianggap sebagai first-timer.

Mencari rumah yang anda inginkan memakan masa terutama sekali jika anda cerewet macam saya (nak dekat dengan perhentian bas, dengan expressway, dengan kemudahan dan sebagainya.) Tapi dengan pelbagai macam kemudahan yang ada, pastinya harga pun agak tinggi. Pada masa yang sama, harapan saya, bila saya jual rumah itu nanti, sekurang-kurangnya, harga tetap kekal dan tidak jatuh. Lebih-lebih lagi bila rumah anda berdekatan dengan MRT, mudah nak ke sana sini.

Saya rasa sekian sahaja catatan saya untuk kali ini. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, komen atau tidak pasti bolehlah beritahu saya ya. Saya cuba bantu.

Bersama ejen Ya Aliff Mirzan

“Yang tenang”

Itulah nasihatnya selalu diingatkan.

Yang akan menegur saya “Ustaz, cakapnya jangan laju sangat. Yang tenang. Cakapnya biar jelas”

Yang sentiasa bertanya bila kurang pasti. “ustaz, sebutan surah ini bagaimana ya. Boleh hantarkan audio sebutannya”

Yang sanggup bersengkang mata, pulang lewat untuk pastikan hasilnya terbaik hinggakan tiada bunyi helaan nafas pun 😱😱

Yang sudi dan sedia menerima komen untuk diperbaiki, saling bertukar pendapat serta berkongsi ilmu walaupun saya jauh lebih muda – pengalaman & ilmu pun secubit kecil saja “Mak Suharti, intro rancangan ni saya mulakan dgn ayat Quran/doa rasanya jingle sebelumnya kurang sesuai sebab ada music rancak, rasa macam tak berapa elok”

Yang dapat mengesan tenaga saya bila buat rakaman di radio. “Ustaz, energy kasi lebih”

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Syukur atas ruang dan peluang menimba ilmu dan pengalaman dari yang pakar – 45 tahun dalam industri ni.

Potongan ayat dari Surah ArRahman dr ayat 60 ini cukup sesuai dengan pepatah “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi, kita merasa” semoga dibalas sebaik-baik kebaikan pada yang berbudi dan berbahasa.

Tahun ini, biarpun tidak dapat ke studio untuk rakaman Hikmah Ramadan, ia tetap istimewa dgn bimbingannya. Waktu itu masjid-masjid kita tutup sementara kes covid19 meningkat tinggi. Alhamdulillah, dapat kita laungkan setiap hari di #warna942 doa dan zikir yang biasa kita lazimi pada bulan Ramadan di masjid-masjid Singapura khasnya dalam rancangan Hikmah Ramadan & Firman dan Sabda. Bahkan kita jadikannya opening jingle supaya dpt diamalkan bersama dan mengubat rindu masjid biarpun beberapa saat saja. (setiap saat untuk rancangan agama amat amat amat berharga, bila ada ruang dan peluang, kita cuba garap sebaiknya. Pendek kata, ambil kesempatan dalam kesempitan 🤭😉🥲)

Terima kasih mak #SuhartiAli semoga usahasama menjayakan rancangan agama memanfaatkan pendengar dan memudahkan urusan kita semua di akhirat sana. Selamat berehat dan menikmati persaraan selayaknya 🥲

“Kalau air tu tenang, tak berapa cantik pemandangan”

Sesekali merenung dan menghitung kembali limpahan kurniaan rezeki Ilahi seakan tersedar dari igauan mimpi.

Dalam kehidupan ini, barangkali kita gambarkan kesempurnaan. Mungkin terlalu sangat menonton netflix dan rancangan tv hinggakan kita terlupa kehidupan seharian kita adalah realiti bukanlah seindah fantasi.

Kita dambakan kesempurnaan sebagaimana kita lihat di skrin kita setiap hari. Kita mahukan kehidupan yang sempurna, keluarga yang sempurna, pekerjaan yang sempurna, serba serbi sempurna.

Namun kita lupa, dunia ini tidak akan pernah sempurna. Akan ada kekecewaan, akan ada badai dan ujian, akan ada rintangan dan cabaran. Saya teringat sewaktu berjalan bersama Mantan Mufti Ustaz Dr Fatris, beliau sebutkan, “kalau air tu tenang, tak berapa cantik pemandangan, begitu juga kehidupan kita, perlu ada ‘gelombang’ dan ‘ombaknya’”. Lebih kurang begitulah bunyinya walaupun saya rasa lebih puitis jika disebutnya. 😅

Rindu pula briskwalking bersama

Semakin meniti usia ni, saya mula sedari tiada yang sempurna. Sungguhpun zahirnya terlihat sempurna, apa yang tersembunyi belum tentu lagi. Senyum, gelak dan tawa yang terpancar di muka tidak semestinya benar-benar bahagia.

Kita mungkin rasa kita sempurna di pandangan mata kita. Namun belum tentu lagi di pandangan mata insan lain. Pasti ada kurangnya, pasti ada cacat celanya, pasti ada yang akan kurang menyenangkan. Mungkin cara layanan kita, mungkin gaya bahasa kita, mungkin adab kita, mungkin, mungkin dan seribu satu kemungkinan. Biarpun tak mungkin mampu kita capai sempurna, jangan dijadikan alasan untuk kita tidak menyempurnakan

Bersama keluarga, kerabat, teman di kerja, kenalan, pasti ada yang mengecewa, pasti ada yang mengguris dengan kata-kata, pasti ada. Kerana insan dicipta dengan kelemahan dan bukan kesempurnaan. Atau mungkin kelemahan dalam kesempurnaan dan kesempurnaan dalam kelemahan. (Ayat macam deep, macam confusing juga ya hehe)

Sehebat, sebesar mana pun kita, pada langit yang sama kita junjungi, pada bumi yang sama kita berdiri. Hari ni kita mungkin berdiri tinggi, megah, dengan pangkat, darjat dan panggilan itu ini, dipandang mulia sana sini, namun beringatlah, berapa lamalah sangat mampu kita miliki. Sepuluh tahun mungkin, dua puluh, tiga puluh, lalu kita akan rapuh kembali pada tanah dengan kain putih yang akan lusuh.

Catatan ni terhasil setelah saya merenung keadaan diri, bagaimana interaksi saya bersama insan sekeliling, keluarga dan teman sekerja. Semoga kekurangan saya sudi diampunkan.

Jaga jaga, hati hati

Ternampak perkongsian oleh selebriti Singapura, Taufik Batisah

Fakta yg menyedihkan tapi itulah hakikatnya. Insan di sekeliling akan menghukum, mempertikai dan menilai kita. Bukan itu saja, bahkan ada yang ingin dan gembira sebenarnya apabila melihat kita jatuh.

Apa yang kita lakukan, apa yang kita makan, dengan siapa yang kita keluar dan sebagainya akan menjadi bahan bualan.

Hattakan kalau kita fikir feature ‘close friends’ itu selamat, fikirkanlah kembali. Apa yang kita kongsi dalam jaringan yg kita rasa selamat mungkin akan ‘bocor’ juga. Perkara ini pernah beberapa kali terjadi bukan saja pada diri saya tapi pada yang lain juga.

Kekata “Stay Safe, Stay Home” sering kita dengar di Singapura semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan. Namun, rasanya ia tidak sesuai bagi apa yang kita lakukan dalam talian atau di media sosial. Apa yang penting adalah kita terus berwaspada ketika membuat perkongsian.

Ya, adakalanya kita hanya menurut emosi yang marah, geram, sedih dan kecewa bila membuat perkongsian. Kita mungkin selesa untuk ‘cakap lepas’ secara empat mata bersama yang rapat dengan kita. Sedangkan secara empat mata pun boleh disebar-sebarkan, inikan pula yang di media sosial. Hanya dengan satu silap langkah, orang akan screenshot dan sebarkan.

Hati-hati. Mata sentiasa melihat, ada yang suka, ada yang hanya akan mencari silap kita dan ada juga yang bermuka dua.

Semoga Allah lindungi. Jaga diri, hiasi peribadi ❤️

Guru, dalam doa kita bertemu

Yang mengajar saya membaca, melukis dan mengira
Yang menasihatkan saya kala lupa, lalai dan terleka
Yang mendidik saya membezakan yang mana kaca, intan dan permata
Yang membimbing saya agar terus berada di jalanNya
Yang berkongsi ilmu akhirat dan dunia
Jazakumullah khairal jazak dan terima kasih atas segalanya.

Sepanjang perjalanan menjadi murid ni, pelbagai jenis dan ragam guru yang telah saya jumpa.

Cikgu, Teacher, Ustaz dan apapun jua gelarannya pasti sedikit sebanyak mencorak kehidupan kita hari ini.

Setiap tenaga pengajar itu pasti mengajar kita sesuatu. Hattakan yang mungkin tidak mengajar sangat di kelas ataupun tidak masuk kelas selalu juga turut mengajar kita – mengajar untuk tidak menjadi seperti mereka dan menjadi versi yang lebih baik dari mereka.

Hakikatnya, bila membesar, dewasa dan matang, kita dapat lebih menghargai mereka.

Kerana kesibukan bekerja, mungkin tak semua dapat saya bertanya khabar, berjumpa atau bertegur sapa.
Namun, doa buat mereka sentiasa dititipkan agar hidup aman sejahtera, diberikan kesenangan akhirat dan dunia.

Bersama almarhum Syeikh Abdul Maqsood Alfarisy Alhasany

Pakai sanitiser, boleh hapuskan dosa?

Agak click bait tajuk ni ya? Sebenarnya, ternampak poster ni sebelum masuk mall

Saat terbaca frasa yang digunakan “The health of all depends on each one of us” atau kesihatan semua bergantung pada kita semua mengingatkan hadith berkenaan perumpamaan mukmin yang mana disebutkan ia umpama bangunan; saling menguatkan dan memperkukuh sesama kita.

Begitulah hendaknya, dalam kehidupan seharian kita, lebih-lebih lagi sewaktu wabak COVID19 ini masih lagi aktif, menjadi tanggungjawab untuk kita terus menjaga diri.

Dengan menjaga diri sendiri, diri mereka yang di luar sana turut terjaga. Ini amanah kita hari ini, menjaga diri sebaik-baiknya. Andai sakit, pergilah bertemu doktor dan ambil langkah berjaga-jaga

Peluang menambah kebaikan

Yakinlah, dalam setiap usaha mencuba membendung wabak ini dan menjaga diri, pasti ada ganjaran kebaikan sebagaimana yang disebut dalam Surah al-Zalzalah, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

Sanitiser juga bukan saja menghapus kuman tapi mampu menghapus dosa. Bagaimana?

Mungkin ada yang terus baca bahagian ni bertanyakan apa kaitan sanitiser sebagai pembersih dosa. Mudah-mudahan, langkah-langkah berjaga-jaga yang kita ambil setiap hari di luar, menggunakan pelitup, sanitiser ataupun cecair pembasmi kuman, mengimbas kod QR SafeEntry turut dikategorikan dalam kebaikan. Niatkanlah yang baik-baik, niatkan bilamana kita ambil langkah-langkah tersebut agar kita dan insan sekliling terselamat.

Rata-rata mungkin begini internet sebahagian kita kerana sering check in di mana jua

Dan dengan kebaikan-kebaikan ini, kita mohon agar segala kesilapan dan dosa-dosa kita diampunkan Allah segaris dengan tafsiran Ibn Kathir bagi Surah Hud ayat 114: “Sesungguhnya melakukan kebaikan itu menghapuskan dosa dosa silam”

Wallahu a’lam

Melayan – antara mengejar nama dan keikhlasan

Beberapa hari ni kecoh tentang Ivan Lim dan Desmond Tan semasa tempoh #GE2020 Bukan nak berbual politik cuma bila beberapa hari dengar tentang individu ini dan itu membuat saya terfikir dan muhasabah diri sendiri bagaimana cara layanan kita terhadap orang luar.

Orang yang baik, kebaikannya tak perlu diwarwarkan, orang akan suka dan berbual tentangnya. Begitu juga sekiranya sebaliknya.

Saya percaya “People will remember how you made them feel”

Saya masih ingat guru saya waktu tadika yang berikan chocolate bar van houten (masih ingat jenama ni kerana waktu tu ni kira macam dah mahal) bila saya score paper nya, sekitar 20 tahun lalu.

Saya juga masih ingat bagaimana suatu ketika dulu pernah ada ura-ura untuk membuang saya dari sebuah institusi kerana tidak setuju dengan rencana saya di suratkhabar sekitar 10 tahun lalu. Saya juga masih ingat siapa yang pantas ingin membantu saya ketika itu dan beberapa individu yang terlibat.

Kenapa masih diingat? Kerana perasaan itu amat sukar dilupakan baik yang manis atau sebaliknya. Begitulah juga bagaimana bila kita beri layanan pada mereka di sekeliling.

Berada di atas hanyalah satu pinjaman sementara. Esok lusa belum tentu lagi di atas. Jadi usah mendongak ke langit selalu hingga terlupa rumput yang dipijak kerana mungkin untuk terus ke atas lagi kita perlukan rumput itu. Dan buatlah dengan kerelaan, kesungguhan dan keikhlasan bukanlah kerana nama, pangkat atau darjat.

“Rahmatilah penghuni bumi, kelakkan dirahmati Yang di langit”

Kita manusia biasa dan mudah tersilap. Disebalik kesilapan ada pengajaran. Tapi kalau kesilapan itu kerap diulangi, apakah tiada pengajaran yang diambil? Atau mungkin mata sudah terhijab dari melihat kesilapan kerana sudah menjadi kebiasaan?

Semoga diri kita sentiasa terpandu pada kebenaran dan kebaikan dan bukan sekadar mengutamakan emosi atau perasaan dalam mengambil satu tindakan. Maafkan saya andai layanan atau tindakan mengguris perasaan atau tidak mencapai kepuasan 🙏🏻

Wallahu a’lam

Sebersih hati pengunjung masjid

IMG_9743Setelah sekian lama tidak dapat ke masjid semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, kita diberi peluang semula setelah bilangan kes semakin merudum, Alhamdulillah.

 

Yang faham, yang mengerti dan yang sebaliknya

Ramai yang memberi maklum balas tentang pembukaan masjid dengan jumlah yang lebih tinggi biarpun terhad.

Alhamdulillah, ada yang faham. Namun, ada juga segelintir yang belum atau kurang faham dan mempersoalkan keputusan dan langkah yang diambil.

Bayangkanlah jika angka yang lebih besar dibenarkan, kemudian terjadi jangkitan atau timbul kluster yang baru, waktu itu, apakah kita akan mula menuding jari, menyalahkan  pihak-pihak yang membenarkan?

 

Pantas dengan penuh hikmah

Saya kagum dengan mereka yang pantas membuat keputusan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan seperti Mufti, ahli jawatankuasa fatwa dan pegawainya.

Saya percaya, berat dan sukar pastinya bagi sesebuah keputusan itu diambil. Namun, ianya perlu demi menjaga keselamatan, kebajikan dan kemaslahatan setiap pihak.

Dengan musuh yang tak dilihat mata kasar ini, tentu sekali kita tidak mahu kes baharu timbul ataupun kluster yang baru lahir dari kelompok Masjid ini muncul bila masjid dibuka semula.

Keputusan yang sukar begini bukanlah berkuatkuasa di Singapura sahaja. Bahkan, baru-baru ini, kerajaan Saudi mengumumkan had jumlah untuk tunaikan haji kepada 1000 sahaja dari jutaan pada kebiasaannya.

 

1FFCB657-E19D-4858-96A1-45DE60DC0BE7Masjid, rumah Allah, suci dan perlu dijaga rapi

Begitu mulianya dan tinggi martabat masjid hinggakan langkah yang diambil itu lebih ketat dari yang lain. Usahlah dibandingkan dengan tempat yang bezanya langit dan bumi. Apakah permata dan pasir itu sama martabat dan nilainya?

Dalam menjaga amanah dan kesucian masjid ini, cubalah untuk mengerti dan fahami hikmah di sebalik bilangan yang kecil ini semasa masa-masa sukar begini. 

Marilah, kita ambil langkah berjaga-jaga dan pada masa yang sama teruskan berdoa agar dengan pembukaan masjid ini kita semua terlindung. Dan kita juga bertawakkal kepadaNya setelah setiap langkah ini kita ambil ini. Mudah-mudahan terpelihara dan bebas dari segala wabak.

 

“Nak ke masjid pun kena daftar? Ini kan rumah Allah” – Hamba Allah yang marah

Bercakap itu mudah. Melontar kata-kata seakan terlupa ada yang mencatit, Raqib & Atid.

Proses pendaftaran untuk solat Jumaat akan dibuka esok. Pastinya, ada yang akan berjaya mendapat tempat dan pula yang mungkin kecewa. Andai tidak dapat peluang atau slot itu, kita niatkanlah dalam hati. Mudah-mudahan mendapat pahala sebagaimana mereka yang diberi peluang itu.

 

Masjid bukan sahaja tempat solat Jumaat

Masjid kita sentiasa terbuka. Biarpun jumlahnya dihadkan kepada 50. Jumlah bagi mereka yang dibolehkan ke masjid pada masa-masa yang lain tidak dihadkan. Janganlah kerana tidak dapat ke masjid semasa solat Jumaat, kita langsung tak singgah masjid untuk dirikan solat-solat fardhu yang lain. Solat Jumaat bukanlah satu-satunya kewajipan.

Makmurkanlah masjid-masjid kita bukan saja pada waktu Solat Jumaat tetapi pada waktu subuh, isyak dan sebagainya. 

Pada masa yang sama juga, hulurkanlah sedekah seikhlasnya demi membantu pembiayaan masjid-masjid kita.

 

 

IMG_0353

Sayu. Petikan gambar Ramadan lalu. Sekitar jam 9. Biasanya jemaah mencurah di luar pulang dari terawih tapi tahun ini, cukup berbeza

Semoga dikurniakan nikmat kebebasan sekali lagi

Saya percaya, mereka yang hatinya bersih dan ikhlas merindui masjid pasti akan menjaga tutur bicaranya.

Semoga yang cintakan masjid, yang merinduinya, yang berusaha menjaga keselamatan di masjid, yang menguruskan, diberikan kesabaran, kekuatan, keselamatan dan ganjaranNya serta kebaikan dunia & akhirat.

Wallahu a’lam.

Menguji Ikhlas

Adakalanya, kita buat yang terbaik kerana kita mahu yang terbaik dan tidak pernah mengharapkan balasan.

Kita buat yang terbaik kerana kita yakin dan kita sendiri mahu lihat hasil yang terbaik. Kita buat, kita lakukan tanpa sebarang keluh kesah. Biar susah, biar payah, asalkan hasilnya indah, itu dah cukup membahagiakan.

Kemudian, datang sebuah ujian. Segala hasil, segala penat lelah, segala tidur malam yang tak lena, segala pengorbanan yang dilakukan dalam diam, musnah, hancur! Walaupun hasil atau perkara itu berjaya.

Kemudian terbit dalam hati, “sudahlah, aku buat macam mana pun, aku tak akan dapat ganjarannya.” “Aku buat yang terbaik macam mana pun, dah tak akan dipandang lagi dah.”

Saat itu, ketahuilah, keikhlasan kita sedang diuji. Mungkin saat itu juga kita terlupa, apa objektif kita, apa tujuan hidup kita.

Alhaakumut takaathur” Kamu telah dilalaikan. – Surah At-Takathur, ayat 1.

At-takaathur, surah yang biarpun ringkas, tapi bila direnungkan maknanya, direnungkan isi kandungnya akan mengundang kita untuk muhasabah diri kita. Diri yang telah dilalaikan dengan segala macam keindahan, kenikmatan yang adakalanya kita sendiri lupa akan kewujudannya.

Mungkin kalau tak kerana secubit ujian itu, kita tidak akan sedar selama ini kurang ikhlas kita. Tujuan kita tujuan dunia biarpun perkara yang dilakukan itu perkara akhirat. Kita kejarkan pangkat, darjat, habuan dan pujian orang.

Kita lupa. Sebuah Hadith yang diriwayatkan Imam Muslim, yang amat menyentuh jiwa. Mengingatkan kita untuk mensucikan niat kita dan bukan untuk mengejar nama dan pujian manusia.

Hadith tersebut, menyebut tentang seseorang hamba yang lakukan amalan hanya kerana mahu disebut-sebut manusia akan amalannya lalu diheret ke neraka.

 

f81c7c89-39b8-4b5d-ac58-6f8a10df726b

Apalah erti pujian manusia andai tak dipandangNya bahkan diheret ke neraka hanya kerana kita mengejar nama?

Pertama, seorang yang sangka dirinya syahid

Maksud Hadith tersebut “Orang yang akan diadili paling awal ialah seorang yang mati syahid. Allah memperlihatkan kurniaan yang diberikan kepadanya.

Allah bertanya: ‘Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat tersebut?’

‘Aku berperang di jalan-Mu sehingga aku gugur sebagai syahid.’

‘Kamu tipu! Kamu berperang supaya dipanggil sebagai seorang perwira(berani). Dan gelaran itu telah diberikan.’

Lalu Allah memerintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret sampailah dia dilemparkan ke dalam neraka.

 

Kedua, seorang yang ingin digelar alim oleh manusia

Kemudiannya, seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya.

‘Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat tersebut?’

‘Aku belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran keranaMu.’

‘Kamu tipu! Kamu belajar ilmu supaya dipanggil orang alim dan kamu membaca a-Quran kerana ingin dipanggil qari. Dan gelaran itu telah diberikan.’

Lalu Allah perintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret sampai-lah dia dilemparkan ke dalam neraka.

 

Ketiga, seorang yang ingin dipanggil dermawan

Selepas itu, datanglah pula seorang yang Allah berikan kemewahan. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya.

‘Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat itu?’

‘Tidak ada satu jalan(kebaikan) pun yang Engkau sukai melainkan aku sedekahkan harta pada jalan tersebut.’

‘Kamu penipu! Kamu melakukannya kerana mahu dipanggil dermawan. Dan gelaran itu sudah diberikan.’

Lalu Allah memerintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret hingga sampai ke dalam neraka.”

 

Bukan mudah untuk melakukan sesuatu secara ikhlas. Seringkali, kita terlupa. Kita lakukan kerana kita kejarkan dunia walhal dunia hanya sementara dan kita dilalaikan dengan segala kemewahan. Kita mahu dipuji penduduk dunia, sedangkan kita dikeji Pencipta Dunia. Apalah erti pandangan manusia kalau tak dipandang pencipta manusia?

Semoga Allah kurniakan ikhlas dan sucikan hati-hati kita sentiasa. Amin.