Ramadan di hujung jendela, sudahkah kita bersedia?

Sebak di masjid saat terdengar imam melaungkan doa “Ya Allah berkatilah kami di bulan Syaban dan temukanlah kami dengan bulan Ramadan” sambil terkenangkan Ramadan tahunlalu, Ramadan yang cukup mencabar, Ramadan yang tertutup pintu-pintu masjid tetapi membuka ruang dan peluang yang baru. 

Doa yang dibacakan imam masjid seusai solat fardhu berjemaah itu secara tidak langsung mengingatkan sayabahawa kita sedang menghitung hari menyambut bulan suci Ramadan. Bagaimana, sudahkah anda bersedia? Dalam rencana saya kali ini, saya akan kongsikan beberapa persiapan menjelang Ramadan.

Sucikan niat kita

Setiap perbuatan kita dinilai mengikut niat kita sebagaimana maksud hadis. Dalam menyiapkan diri bertemu Ramadan, marilah bersihkan hati kita untuk menyambutnya. Tanamkan niat dan tekad agar Ramadan yang akan datang ini adalah Ramadan yang terbaik. 

Ramadan pasti akan tiba tetapi belum pasti lagi untuk kita. Namun, sekiranya kita sudah mula tanamkan niat hari ini untuk memperbanyakkan amalan pada Ramadan akan datang tetapi ajal mendahului Ramadan, ketahuilah, kita tetap diberikan ganjaran atas niat baik kita sebagaimana disebutkan dalam petikan hadith riwayat Bukhari, maksud sabda Nabi Muhammad SAW “barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi…”Subhanallah! Lantaran itu, ayuh, kita mulakan niat bersama agar Ramadan akan datang penuh makna hendaknya.

Mulakan sekarang

Ibarat bersenam atau ‘workout’ di gim, kita perlu panaskan badan, membuat renggangan dan sebagainya. 

Antara kita ada juga terhenti atau kurang motivasinya setelah Ramadan berlalu pergi. Kembali pada analogi bersenam di gim tadi, sebagai pendatang yang sudah lama tidak membuat latihan, pastinya kita perlukan masa untuk menyesuaikan diri kembali. Takkanlah dah hampir setahun tak ke gim dan membuat senaman tiba-tiba terus angkat berat kan?

Mulakanlah dengan langkah-langkah kecil seperti meluangkan masa lebih sedikit sekitar lima atau sepuluh minit mungkin setelah solat fardhu untuk membaca beberapa lembaran Quran ataupun dirikan solat Sunat. Jika kita terasa berat mendirikan Qiyam sendirian, cubalah ke masjid-masjid tempatan yang sudah mula menawarkan Qiyam ketika ini. Mudah-mudahan setibanya bulan suci itu nanti, kita sudah terbiasa.

Kenali Ramadan

Ungkapan “tak kenal maka tak cinta” saya rasa sesuai sangat dengan bulan Ramadan. Bulan keampunan yang padanya pelbagai ganjaran yang ditawarkan pada mereka yang sudi. 

Apabila kita lebih mengenali Ramadan, kita akan dapat lebih menghargainya dan terdorong untuk melakukan pelbagai amalan kerana kita ingin kejarkan lipatan ganjarannya yang tiada tandingan khususnya pada sepuluh malam terakhir.

Kenalilah Ramadan dengan membaca berkenaan kelebihan bulan tersebut. Saya yakin, masjid-masjid kita serta pusat-pusat pendidikan Islam di Singapura juga sudah memulakan kuliah berkenaan Ramadan sama ada secara fizikal ataupundalam talian seperti kelas ADIL contohnya di masjid-masjid kita. Ambillah peluang ini untuk kita belajar kembali.

Gilap amalan sedia ada

Dalam semangat ingin mengejar dan menambah amalan baru pada Ramadan nanti, seyogianya kita renung kembali amalan-amalan harian kita. Marilah kita ambil kesempatan ini untuk kita menggilapnya. Sebagai contoh, perhatikanlah bacaan-bacaan dalam solat kita seperti surah Al-Fatihah khususnya, doa iftitah kita, tahiyat awal dan akhir kita dan sebagainya. 

Adakalanya kerana terlalu terbiasa, kita mungkin terlupa perkataan tertentu, sebutan tertentu ataupun tertib yang tertentu dalam sesebuah amalan. Rujuklah kembali pada buku ataupun guru sekiranya kita kurang pasti.

Susun amalan dan doa

Bulan yang mudahnya dimakbulkan doa, itulah Ramadan yang dinanti-nanti sebagaimana maksud sabda Nabi Muhammad SAW “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

Menjelang bulan penuh berkat itu nanti, kita tentu tidak mahu mempersia setiap saat dalam bulan Ramadan. Lantaran itu, saya cadangkan agar luangkan masa sebentar untuk merancang amalan dan doa-doa kita. Dalam membuat persiapan berdoa pula, adakanlah senarai doa buat keluarga, buat rakan taulan, masyarakat Singapura khususnya serta penduduk dunia. Doa-doa tersebut tidak perlu dalam bahasa Arab kerana Dia Maha Mendengar lagi Maha Memahami. Namun, yang sebaiknya adalah doa-doa yang diajarkan Baginda SAW.

Senaraikanlah juga amalan-amalan yang jarang kita lakukan pada bulan yang lainnya seperti mungkin mengkhatam Quran, derma di masjid, madrasah, rumah-rumah tumpangan dan sebagainya. Bayangkan saudara, sedolar yang kita hulurkan secara ikhlas sehari, berlipat ganda di akhirat nanti.

Yang terpenting saya kira letakkanlah di dalam kalendar kita tarikh sepuluh malam terakhir tersebut agar kita lengkap bersedia untuk memaksimakan amalan dan menggapai segala saat pusingan ‘bonus’ tersebut.

Laksanakan tanggungjawab sosial kita

Saya yakin, ramai di antara kita yang rindu suasana Ramadan di masjid-masjid kita. Marilah kita terus panjatkan doa dan laksanakan tanggungjawab sosial kita dalam menjaga diri dan keluarga agar bilangan kes kekal rendah. Bagi yang sudah diundang untuk mengambil vaksin, segerakanlah. Mudah-mudahan dengan mengambil segala langkah berjaga-jaga ini, dapatlah kita jejakkan kaki ke masjid, berterawih berjemaah, mendirikan qiyam biarpun dalam norma baharu andai diizinkanNya.

Hari ini, kita solat berjarak. Sungguhpun begitu kita harap segala usaha kita menjaga kemaslahatan masyarakat mendekatkan lagi jarak kita Yang Maha Pencipta. Biar solat berjarak, asal tak menjarakkan diri dari Ilahi.

Kita mohon mudah-mudahan kita dipanjangkan umur dan ditemukan dengan bulan suci Ramadan sedang kita taat beribadah dan mengabdi diri padaNya.

Selamat menyiapkan diri untuk menyambut bulan penuh keberkatan, bulan kemuliaan, bulan keampunan, bulan suci Ramadan.

Leave a comment