Beberapa hari ni kecoh tentang Ivan Lim dan Desmond Tan semasa tempoh #GE2020 Bukan nak berbual politik cuma bila beberapa hari dengar tentang individu ini dan itu membuat saya terfikir dan muhasabah diri sendiri bagaimana cara layanan kita terhadap orang luar.
Orang yang baik, kebaikannya tak perlu diwarwarkan, orang akan suka dan berbual tentangnya. Begitu juga sekiranya sebaliknya.
Saya percaya “People will remember how you made them feel”
Saya masih ingat guru saya waktu tadika yang berikan chocolate bar van houten (masih ingat jenama ni kerana waktu tu ni kira macam dah mahal) bila saya score paper nya, sekitar 20 tahun lalu.
Saya juga masih ingat bagaimana suatu ketika dulu pernah ada ura-ura untuk membuang saya dari sebuah institusi kerana tidak setuju dengan rencana saya di suratkhabar sekitar 10 tahun lalu. Saya juga masih ingat siapa yang pantas ingin membantu saya ketika itu dan beberapa individu yang terlibat.
Kenapa masih diingat? Kerana perasaan itu amat sukar dilupakan baik yang manis atau sebaliknya. Begitulah juga bagaimana bila kita beri layanan pada mereka di sekeliling.
Berada di atas hanyalah satu pinjaman sementara. Esok lusa belum tentu lagi di atas. Jadi usah mendongak ke langit selalu hingga terlupa rumput yang dipijak kerana mungkin untuk terus ke atas lagi kita perlukan rumput itu. Dan buatlah dengan kerelaan, kesungguhan dan keikhlasan bukanlah kerana nama, pangkat atau darjat.
“Rahmatilah penghuni bumi, kelakkan dirahmati Yang di langit”
Kita manusia biasa dan mudah tersilap. Disebalik kesilapan ada pengajaran. Tapi kalau kesilapan itu kerap diulangi, apakah tiada pengajaran yang diambil? Atau mungkin mata sudah terhijab dari melihat kesilapan kerana sudah menjadi kebiasaan?
Semoga diri kita sentiasa terpandu pada kebenaran dan kebaikan dan bukan sekadar mengutamakan emosi atau perasaan dalam mengambil satu tindakan. Maafkan saya andai layanan atau tindakan mengguris perasaan atau tidak mencapai kepuasan 🙏🏻
Wallahu a’lam