Cekal hati tuntut ilmu di tengah pergolakan prodemokrasi di Mesir

29jana

SEDANG ketidaktentuan mencengkam Mesir dek gerakan prodemokrasi yang dikenali sebagai Kebangkitan Arab atau Arab Spring, dua penuntut Universiti Al-Azhar antara pelajar yang mencekalkan hati kekal di negara itu demi meneruskan pengajian.

Semalam, dua pelajar tersebut akhirnya menggenggam segulung ijazah setelah menjadi antara 29 lulusan Sarjana Muda Universiti Al-Azhar yang diraikan dalam satu majlis di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Ditemui semalam, salah seorang daripada mereka, Encik Abdul Rauuf Maskhazin, 24 tahun, berkata beliau dan rakan-rakan dinasihatkan supaya pulang ke Singapura demi keselamatan mereka.

Namun, setelah berfikir panjang dan berbincang dengan keluarga di tanah air, beliau mengambil keputusan meneruskan pengajian.

Menurutnya, keputusan tersebut sukar bukan kerana beliau khuatir mengenai keselamatannya, tetapi kerana dorongan kuat daripada neneknya.

“Saya amat rapat dengan nenek, jadi setiap kali sebelum saya meninggalkan Singapura, saya akan merakamkan perbualan saya bersama nenek supaya rakaman itu dapat saya dengar semula sebagai motivasi agar saya dapat terus memberikan yang terbaik,” kata beliau, yang mengikuti jurusan perundangan Islam.

Rakannya, Cik Nurshilah Abdul Wahid, 25 tahun, yang turut menerima ijazahnya semalam, pula berkata: “Saya rasa amat bersyukur. Pada mulanya saya tidak pasti sama ada saya boleh menghabiskan perjalanan ini, namun dengan galakan dan dorongan ibu bapa dan adik-beradik, saya akhirnya berjaya,” kata beliau.

Beliau, yang mengikuti jurusan sastera dan bahasa Arab, jatuh cinta dengan bahasa itu sejak kecil.

Malah, beliau kini memanfaatkan ilmu bahasa Arabnya itu dengan mengajar bahasa tersebut, Iqra dan Tasawur Islam, kepada pelajar pradiploma di Andalus Corporation.

Encik Abdul Rauuf dan Cik Nurshilah menerima ijazah mereka semalam daripada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Turut hadir di majlis itu ialah Pegawai Eksekutif Muis, Haji Abdul Razak Maricar, dan Duta Besar Republik Arab Mesir, Cik Fatma F. Galal.

Semasa ditemui media, Dr Yaacob berkata lulusan Al-Azhar mempunyai peranan penting dan merupakan aset berharga dalam masyarakat Melayu/Islam setempat.

“Saya berharap mereka akan terus mempertingkatkan diri mereka, terutamanya berhubungan dengan keperluan masyarakat kita. Mereka telah banyak menimba ilmu di Mesir dan sekarang mereka harus menyesuaikannya mengikut konteks Singapura – bagaimana kita mengembangkan kehidupan agama kita, bagaimana kita mengamalkan kehidupan agama dan peranan yang boleh mereka mainkan di sini.

“Selain menangani cabaran pengganasan and ekstremisme, kita harus berfikir tentang bagaimana kita boleh terus membina daya ketahanan masyarakat kita, sambil mengekalkan identiti Islam Singapura serta ciri-ciri yang telah disampaikan, dan memastikan masyarakat Islam terus menjadi sebahagian daripada keluarga besar Singapura,” katanya.