Setelah sekian lama tidak dapat ke masjid semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, kita diberi peluang semula setelah bilangan kes semakin merudum, Alhamdulillah.
Yang faham, yang mengerti dan yang sebaliknya
Ramai yang memberi maklum balas tentang pembukaan masjid dengan jumlah yang lebih tinggi biarpun terhad.
Alhamdulillah, ada yang faham. Namun, ada juga segelintir yang belum atau kurang faham dan mempersoalkan keputusan dan langkah yang diambil.
Bayangkanlah jika angka yang lebih besar dibenarkan, kemudian terjadi jangkitan atau timbul kluster yang baru, waktu itu, apakah kita akan mula menuding jari, menyalahkan pihak-pihak yang membenarkan?
Pantas dengan penuh hikmah
Saya kagum dengan mereka yang pantas membuat keputusan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan seperti Mufti, ahli jawatankuasa fatwa dan pegawainya.
Saya percaya, berat dan sukar pastinya bagi sesebuah keputusan itu diambil. Namun, ianya perlu demi menjaga keselamatan, kebajikan dan kemaslahatan setiap pihak.
Dengan musuh yang tak dilihat mata kasar ini, tentu sekali kita tidak mahu kes baharu timbul ataupun kluster yang baru lahir dari kelompok Masjid ini muncul bila masjid dibuka semula.
Keputusan yang sukar begini bukanlah berkuatkuasa di Singapura sahaja. Bahkan, baru-baru ini, kerajaan Saudi mengumumkan had jumlah untuk tunaikan haji kepada 1000 sahaja dari jutaan pada kebiasaannya.
Masjid, rumah Allah, suci dan perlu dijaga rapi
Begitu mulianya dan tinggi martabat masjid hinggakan langkah yang diambil itu lebih ketat dari yang lain. Usahlah dibandingkan dengan tempat yang bezanya langit dan bumi. Apakah permata dan pasir itu sama martabat dan nilainya?
Dalam menjaga amanah dan kesucian masjid ini, cubalah untuk mengerti dan fahami hikmah di sebalik bilangan yang kecil ini semasa masa-masa sukar begini.
Marilah, kita ambil langkah berjaga-jaga dan pada masa yang sama teruskan berdoa agar dengan pembukaan masjid ini kita semua terlindung. Dan kita juga bertawakkal kepadaNya setelah setiap langkah ini kita ambil ini. Mudah-mudahan terpelihara dan bebas dari segala wabak.
“Nak ke masjid pun kena daftar? Ini kan rumah Allah” – Hamba Allah yang marah
Bercakap itu mudah. Melontar kata-kata seakan terlupa ada yang mencatit, Raqib & Atid.
Proses pendaftaran untuk solat Jumaat akan dibuka esok. Pastinya, ada yang akan berjaya mendapat tempat dan pula yang mungkin kecewa. Andai tidak dapat peluang atau slot itu, kita niatkanlah dalam hati. Mudah-mudahan mendapat pahala sebagaimana mereka yang diberi peluang itu.
Masjid bukan sahaja tempat solat Jumaat
Masjid kita sentiasa terbuka. Biarpun jumlahnya dihadkan kepada 50. Jumlah bagi mereka yang dibolehkan ke masjid pada masa-masa yang lain tidak dihadkan. Janganlah kerana tidak dapat ke masjid semasa solat Jumaat, kita langsung tak singgah masjid untuk dirikan solat-solat fardhu yang lain. Solat Jumaat bukanlah satu-satunya kewajipan.
Makmurkanlah masjid-masjid kita bukan saja pada waktu Solat Jumaat tetapi pada waktu subuh, isyak dan sebagainya.
Pada masa yang sama juga, hulurkanlah sedekah seikhlasnya demi membantu pembiayaan masjid-masjid kita.

Sayu. Petikan gambar Ramadan lalu. Sekitar jam 9. Biasanya jemaah mencurah di luar pulang dari terawih tapi tahun ini, cukup berbeza
Semoga dikurniakan nikmat kebebasan sekali lagi
Saya percaya, mereka yang hatinya bersih dan ikhlas merindui masjid pasti akan menjaga tutur bicaranya.
Semoga yang cintakan masjid, yang merinduinya, yang berusaha menjaga keselamatan di masjid, yang menguruskan, diberikan kesabaran, kekuatan, keselamatan dan ganjaranNya serta kebaikan dunia & akhirat.
Wallahu a’lam.








Masih ku ingat lagi
Ada masanya.. kita akan tertanya-tanya, mengapa Tuhan limpahkan kita satu kurniaan atau rezeki yang bukan dari apa yang kita dambakan.
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” Quran 50:16
Dalam kehidupan kita ni, kita sentiasa merancang yang baik.
Sudut pandang kita dalam setiap perkara mestilah positif selalu. Saat ini mungkin mentari sedang terbenam, esok pasti akan terbit, insha Allah. Penting sekali bersangka baik dengan Dia yang mengatur.