Adakalanya, kita buat yang terbaik kerana kita mahu yang terbaik dan tidak pernah mengharapkan balasan.

Kita buat yang terbaik kerana kita yakin dan kita sendiri mahu lihat hasil yang terbaik. Kita buat, kita lakukan tanpa sebarang keluh kesah. Biar susah, biar payah, asalkan hasilnya indah, itu dah cukup membahagiakan.

Kemudian, datang sebuah ujian. Segala hasil, segala penat lelah, segala tidur malam yang tak lena, segala pengorbanan yang dilakukan dalam diam, musnah, hancur! Walaupun hasil atau perkara itu berjaya.

Kemudian terbit dalam hati, “sudahlah, aku buat macam mana pun, aku tak akan dapat ganjarannya.” “Aku buat yang terbaik macam mana pun, dah tak akan dipandang lagi dah.”

Saat itu, ketahuilah, keikhlasan kita sedang diuji. Mungkin saat itu juga kita terlupa, apa objektif kita, apa tujuan hidup kita.

Alhaakumut takaathur” Kamu telah dilalaikan. – Surah At-Takathur, ayat 1.

At-takaathur, surah yang biarpun ringkas, tapi bila direnungkan maknanya, direnungkan isi kandungnya akan mengundang kita untuk muhasabah diri kita. Diri yang telah dilalaikan dengan segala macam keindahan, kenikmatan yang adakalanya kita sendiri lupa akan kewujudannya.

Mungkin kalau tak kerana secubit ujian itu, kita tidak akan sedar selama ini kurang ikhlas kita. Tujuan kita tujuan dunia biarpun perkara yang dilakukan itu perkara akhirat. Kita kejarkan pangkat, darjat, habuan dan pujian orang.

Kita lupa. Sebuah Hadith yang diriwayatkan Imam Muslim, yang amat menyentuh jiwa. Mengingatkan kita untuk mensucikan niat kita dan bukan untuk mengejar nama dan pujian manusia.

Hadith tersebut, menyebut tentang seseorang hamba yang lakukan amalan hanya kerana mahu disebut-sebut manusia akan amalannya lalu diheret ke neraka.

 

f81c7c89-39b8-4b5d-ac58-6f8a10df726b

Apalah erti pujian manusia andai tak dipandangNya bahkan diheret ke neraka hanya kerana kita mengejar nama?

Pertama, seorang yang sangka dirinya syahid

Maksud Hadith tersebut “Orang yang akan diadili paling awal ialah seorang yang mati syahid. Allah memperlihatkan kurniaan yang diberikan kepadanya.

Allah bertanya: ‘Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat tersebut?’

‘Aku berperang di jalan-Mu sehingga aku gugur sebagai syahid.’

‘Kamu tipu! Kamu berperang supaya dipanggil sebagai seorang perwira(berani). Dan gelaran itu telah diberikan.’

Lalu Allah memerintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret sampailah dia dilemparkan ke dalam neraka.

 

Kedua, seorang yang ingin digelar alim oleh manusia

Kemudiannya, seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya.

‘Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat tersebut?’

‘Aku belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran keranaMu.’

‘Kamu tipu! Kamu belajar ilmu supaya dipanggil orang alim dan kamu membaca a-Quran kerana ingin dipanggil qari. Dan gelaran itu telah diberikan.’

Lalu Allah perintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret sampai-lah dia dilemparkan ke dalam neraka.

 

Ketiga, seorang yang ingin dipanggil dermawan

Selepas itu, datanglah pula seorang yang Allah berikan kemewahan. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya.

‘Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat itu?’

‘Tidak ada satu jalan(kebaikan) pun yang Engkau sukai melainkan aku sedekahkan harta pada jalan tersebut.’

‘Kamu penipu! Kamu melakukannya kerana mahu dipanggil dermawan. Dan gelaran itu sudah diberikan.’

Lalu Allah memerintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret hingga sampai ke dalam neraka.”

 

Bukan mudah untuk melakukan sesuatu secara ikhlas. Seringkali, kita terlupa. Kita lakukan kerana kita kejarkan dunia walhal dunia hanya sementara dan kita dilalaikan dengan segala kemewahan. Kita mahu dipuji penduduk dunia, sedangkan kita dikeji Pencipta Dunia. Apalah erti pandangan manusia kalau tak dipandang pencipta manusia?

Semoga Allah kurniakan ikhlas dan sucikan hati-hati kita sentiasa. Amin.

Leave a comment