Waktu nak masak tempoh hari, baru perasan yang blender pecah.

Dalam benak dah terfikir, “okay nak kena cari baru.” “Nak buang lah. Mana boleh gunakan lagi.”

Bukannya nak menyombong; pecah sikit je buang tapi tempat ‘kunci’ atau ‘gigi’ untuk blender tersebut dan pecah. Konfiden sangat dah tak boleh digunakan lagi. Iyalah, tanpa giginya, blender tak boleh berfungsi.

Maafkan saya kalau ada yang rasa posting ni atau posting yang sebelum-sebelum ini agak remeh. Saya orangnya memang suka cari hikmah disebalik yang terjadi. Bagi saya setiap yang terjadi, biar buruk sekalipun pasti ada pengajaran yang Allah hendak berikan. Hanya sama ada kita sedar ataupun tidak kerana saya berpegang pada prinsip yang Allah tak cipta sesuatu secara ‘abath’ atau sia sia.

Dalam hal blender ni. Saya jumpa hikmah yang biarpun mungkin diri kita adakalanya ‘pecah’ atau mungkin soal hati yang ‘broken heart’ kata orang putih. Biar apa jua situasi yang ‘pecah’ dalam kehidupan kita, pasti ada yang dapat melengkapkan atau mengubati. Mentari tak terbenam selamanya, esok pasti terbit semula. Duka juga tiada yang abadi.

Blender yang tadi pecah sebenarnya boleh digunakan lagi. Hanya perlu tekan pada kacip yang tersembunyi bila hendak digunakan sebagai menggantikan kunci tadi yang pecah. Lantas, saya gunakan bahagian yang pecah tadi untuk hidupkannya. Termati-mati juga blender tadi. Lalu saya gunakan sudu pula untuk hidupkannya semula.

Begitu juga dengan diri kita, hati kita. Saat kita menghadapi situasi sebegitu, tingkatkan positiviti. Redha dan terima ujianNya. Yakin dengan kuasaNya, akan ada yang mengganti. Yang diganti adalah jauh yang lebih baik dari yang sebelumnya.

Diri kita mungkin pecah sekarang ini. Hati kita mungkin retak. Namun, yakinlah Allah sentiasa bersama kita dalam suka dan duka. Kehidupan kita tak lari dariNya. Kita datang dariNya kepadaNya bersama-sama denganNya.

Beberapa minggu lalu dalam kelas Ihya Ulumuddin bersama Dr Ahmad Azhary, beliau ingatkan, “manusia ni kalau dia tak ingat Tuhan waktu diberi nikmat, maka waktu diuji saat-saat sukarlah baru dia mula beringat.” Moga kita dijadikan hamba yang ingat padaNya setiap masa.

Allah mungkin uji kita tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana ingin mendengar rintihan kita. Kerana mungkin Dia rindu mendengar kita berdoa. Kerana mungkin Dia rindu untuk bersama kita di sepertiga malam. Mungkin kerana kita terlalu seronok dalam nikmat dunia yang Dia pinjamkan hingga kita terlupa dan tidak sedar. Lantas, Dia ujilah kita.

Namun, janganlah biar waktu diuji baru cari Tuhan. Seharusnya bila-bila masa terutama sekali waktu diberi nikmat. Kadang rasa macam, Ya Allah banyak betul dosa kita kan. Tapi Allah ArRahman ArRaheem dengan rahmat dan belas kasihannya tetap memberikan nikmat. Moga nikmat kurniaNya buat kita tak tergolong dalam Istidraj. :”)

Secara ringkas nak saya ingatkan diri saya, biar apa jua yang membuat kita pecah, jatuh dan sebagainya, kembalilah pada Allah. Pastinya bila kita bergantung padaNya, sesedih manapun sesuatu keadaan itu, kita rasa kebersamaan kita denganNya dan buat perkara yang menyedihkan tidak sesedih biasa. Allahumma innaa naudzubika minal hammi wal hazn.

Tak semestinya yang pecah dan rosak tu perlu cari baru atau dibuang. Sebaliknya kita perlu cari bahagian yang dapat menghidupkan kita semula. Kalau tak dapat kita baik pulih secara sendiri, carilah pertolongan. Yang utama sekali, ingatlah Firman Allah, “mintalah pertolongan dengar sabar dan dengan solat”.

Semoga Allah menggantikan bahagian diri kita yang telah retak, pecah dan hilang dengan sebaik-baik gantian. Semoga Allah mudahkan urusan hati-hati kita. Semoga Allah hidupkan dan matikan kita dalam hati yang beriman dan patuh pada perintahNya. Amin.

Blender je pecah, ilham macam ni Allah beri. :”)

Cairo.

2 thoughts on “BersamaMu Tak Sesedih Biasa

Leave a comment